ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa keputusan untuk menentukan calon bagi jawatan yang disandangnya ketika ini sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kepimpinan pentadbiran negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, tidak boleh dilakukan oleh pemimpin-pemimpin parti berkenaan di peringkat negeri termasuk dirinya.

Sebaliknya, perkara itu hanya boleh ditentukan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mana mereka akan mencadangkan satu nama kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi jawatan Menteri Besar.


Mengulas mengenai ura-ura Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan kembali menjadi Menteri Besar Kedah, beliau menyifatkan perkara itu agak 'sukar terjadi' memandangkan pemimpin berkenaan bukanlah sebahagian daripada anggota atau ahli PN.


"Dia (Mukhriz) bukan (sebahagian daripada) anggota PN, lagipun dia sudah buat statement di Facebook (yang mana) tidak akan kembali menjadi Menteri Besar.

"(Sebenarnya) kalau hendak jadi MB kena menang pilihan raya dulu, kalau (ada pihak) calon (nama seseorang terlalu) awal, (kemudian nama berkenaan) tidak menang, macamana (individu itu boleh jadi Menteri Besar)?, Kalau  lantik Senator negeri tidak boleh, (jadi kalau) hendak jadi MB kena menang (dalam PRN)," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas majlis penyerahan khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) sempena Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu memaklumkan bahawa proses pembahagian kerusi membabitkan komponen dalam gabungan berkenaan bagi negeri Kedah sudah selesai dan dibuat secara seimbang berlandaskan keupayaan serta status quo parti-parti sedia ada.

Beliau juga menyatakan bahawa PN Kedah akan memasuki medan PRN kali ini dengan modal prestasi pentadbiran kerajaan pimpinan beliau di negeri Jelapang Padi itu dalam tempoh tiga tahun sejak Mei 2020.

"Jangan dengar 'pakyed-pakyed' (orang kurang cerdik) bersyarah, mereka (kata) tidak nampak apa-apa (perubahan di bawah PN), selagi kita habaq (beritahu), lagilah mereka tak nampak,

"Sebenarnya tidak boleh macam itu, semata-mata nak bercakap (politik) sahaja, dengan tujuan bagi orang meluat dengan kita (PN), saya rasa orang yang celik dapat lihat pencapaian kita selama tiga tahun, itu (baru) tiga tahun, cuba bagi 30 tahun, tengok jadi apa (kepada negeri Kedah)," katanya lagi.